CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Thursday 30 June 2011

ISRAK DAN MIKRAJ



Semalam hari Israk Mikraj. So, aku dengan emak buat puasa sunat. Seronok sangat sebab dah lama tak berpuasa bulan Rejab sama-sama dengan emak. Alhamdullilah, dapatlah kami berpuasa seminggu di bulan Rejab ni. Sebenarnya beberapa hari itu tidak penting tetapi yang penting ialah cara pelaksanaannya dan pengisiannya. Sebenarnya apa yang ingin saya kongsikan  pada hari ini ialah mengenai ringkasan ‘ Israk Dan Mikraj’.  


Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Israa' ayat 1 yang tafsirnya :

"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam) pada malam hari dari Masjidilharam di Mekah ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kekuasaan dan kebesaran Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui".

Peristiwa Israk dan Mikraj merupakan antara mukjizat terbesar Rasulullah S.A.W selepas Al-Quran dan merupakan peristiwa agung dan mulia di mana Rasulullah S.A.W telah diisrakkan dari Masjidilharam ke Masjidil Aqsa dan dari sana Baginda dimikrajkan ke langit. Seterusnya Baginda telah menyaksikan tanda-tanda kebesaran pemerintahan dan kekuasaan Allah S.W.T. Dalam peristiwa Israk tersebut, Baginda Rasulullah S.A.W telah diperlihatkan dengan berbagai-bagai kejadian dan peristiwa aneh yang menunjukkan keadaan perbuatan manusia berserta balasan yang bakal mereka terima. Ini adalah sebagai satu ujian kepada manusia terhadap keimanan dan ketakwaan mereka. Dengan demikian mudah-mudahan akan menambah lagi keimanan dan rasa takut untuk membuat kemungkaran.

Dan sebagaimana lazimnya, pada setiap 27 Rejab, kita akan merayakan sambutan Israk dan Mikraj dengan berbagai-bagai majlis ilmu dan keagamaan. Akan tetapi sejauh manakah penghayatan kita terhadap kisah-kisah yang telah diperlihatkan dalam peristiwa Israk dan Mikraj itu? Adalah tidak bermakna dan tidak bererti jika kita hanya memperingatinya sahaja, sedangkan tidak mengambil iktibar dan tidak membawa kepada perubahan yang positif kepada diri kita. Maka rugilah orang-orang yang mensia-siakan usia dan terus leka dan lalai dalam kehidupan. Sesungguhnya dengan ketaatan dan keimanan kepada Allah S.W.T sahajalah yang akan dapat menyelamatkan kita dari kemusnahan baik di dunia mahupun di akhirat.

Di antara hikmah berlakunya Israk dan Mikraj itu, di mana Allah S.W.T telah memperlihatkan berbagai-bagai kejadian aneh, tidak lain melainkan untuk menjadi peringatan dan pengajaran kepada manusia supaya membuat perubahan positif dan membina terhadap diri mereka. Sebagai contoh, jika dahulunya mengabaikan dan malas untuk bersembahyang maka setelah menghayati peristiwa ini dan mengambil pelajaran dan iktibar daripadanya, ia akan berubah menjadi rajin menunaikannya. Jika dahulunya makan riba, maka sekarang telah berubah dan tidak akan melakukannya lagi, begitulah seterusnya akan mentaati perintah Allah S.W.T dan meninggalkan larangan-Nya, bukan terus-menerus bergelumang dengan dosa dan maksiat dan langsung tidak mahu mendengar teguran dan nasihat, ibarat kata perumpamaan 'masuk telinga kanan, keluar telinga kiri'.

Sesungguhnya banyak kejadian-kejadian yang telah diperlihatkan kepada Baginda Rasullulah S.A.W sewaktu Baginda diisrakkan. Antaranya :

Pertama : Baginda Rasulullah S.A.W telah melihat segolongan manusia yang memukul-mukul kepalanya sendiri sehingga hancur luluh, akan tetapi sekejap kemudian kepala itu kembali seperti asalnya. Perbuatan itu dilakukan berulang-ulang kali, begitulah keadaannya berterusan. Rasulullah S.A.W bertanya kepada Jibril Alaihissalam,'Siapakah mereka itu?' Jibril menjawab : 'Mereka adalah sebagai gambaran golongan umat tuan yang suka melalaikan waktu sembahyang sehingga habis waktunya'.

Kita umat Islam wajib mengerjakan sembahyang fardu lima waktu sehari semalam serta menjaga waktunya. Tetapi apa yang berlaku, terdapat sebilangan orang yang masih lalai untuk melaksanakan ataupun melambatkan sembahyangnya sehingga luput waktunya dengan alasan sibuk dengan urusan kerja, keluarga dan sebagainya. Sesungguhnya jika ia seorang yang beriman, ia akan menjaga sembahyangnya dengan sempurna baik dari perlaksanaannya mahupun waktunya. Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Maun ayat 4-5 yang tafsirnya :

"Maka kecelakaan besar bagi orang-orang ahli sembahyang iaitu mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya".

Kedua : Baginda Rasulullah S.A.W telah melihat segolongan manusia yang masing-masing menghadapi dua bekas, bekas yang satu berisi daging yang sudah masak dan yang satu lagi berisi daging yang mentah. Tetapi yang anehnya, mereka memilih untuk makan daging yang mentah. Lalu Baginda pun bertanya kepada Jibril Alaihissalam : 'Siapakah mereka itu?' Jibril menjawab: 'Mereka adalah gambaran di antara umat tuan yang suka berzina. Mereka sebenarnya masih suka melepaskan nafsu syahwatnya dengan perempuan lain walaupun mereka telah beristeri. Begitulah pula halnya dengan perempuan yang telah bersuami secara sah, akan tetapi mereka juga melakukan zina dengan lelaki lain yang bukan suaminya'.

Sesungguhnya Allah S.W.T telah mengingatkan hamba-hamba-Nya untuk tidak mendekati perbuatan zina sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al-Israa' ayat 32 yang tafsirnya :

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan".

Zina adalah perbuatan keji dan hina yang merosakkan diri akhlak keturunan dan masyarakat. 

Di antara keburukan zina ialah keruntuhan moral dan akhlak, melahirkan anak haram yang akibatnya seseorang itu boleh bertindak di luar batasan dan di luar naluri seorang manusia seperti berusaha untuk menggugurkan anak dalam kandungan dan lebih dahsyat lagi sanggup membuang anak yang baru dilahirkan itu hidup-hidup. Perbuatan itu dilakukan kerana malu dan juga kerana hendak menyembunyikan perbuatan kotor yang telah dilakukan itu.

Sebagai orang Islam, kita hendaklah mematuhi ajaran dan hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh agama Islam, bukan mengingkarinya dan hanya menurut kehendak hawa nafsu tanpa memikirkan buruk perbuatan yang dilakukan. Itulah gunanya akal yang dikurniakan kepada manusia supaya manusia berfikir dan bertindak dengan waras dan betul.

Akhirnya marilah kita sama-sama mengambil iktibar dari gambaran-gambaran yang diperlihatkan dalam peristiwa Israk dan Mikraj itu sebagai panduan dan pembimbing menuju kebaikan dan kesempurnaan, mudah-mudahan kita selamat dari segala bencana dan malapetaka dunia dan selamat dari azab api Neraka.

Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Israa' ayat 60 yang tafsirnya :

"Dan ingatlah tatkala Kami wahyukan kepadamu wahai Muhammad, bahawa sesungguhnya Tuhan meliputi akan manusia dengan ilmu-Nya dan kekuasaan-Nya dan tiadalah Kami menjadikan pandangan pada malam Mikraj yang telah Kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia dan demikian juga Kami jadikan pokok yang dilaknat di dalam Al-Quran dan Kami beri mereka takut dengan berbagai-bagai amaran, maka semuanya itu tidak menambahkan mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau-lampau".

Sumber penuh : Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam

No comments: