CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Tuesday 7 June 2011

REJAB BULAN ALLAH


Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun. Lihatlah kekuasaan Allah dalam menciptakan alam ini dari sudut peredaran serta pusingan planet bumi, bulan dan bintang-bintang. Maka daripada kekuasaan Allah itu, wujudlah perkiraan masa 12 bulan dalam setahun dan untuk pengetahuan kita empat daripadanya dinamakan bulan haram yang dihormati dan mengandungi kemuliaan serta kelebihan yang tersendiri iaitu Muharram, Zulkaedah, Zulhijjah dan Rejab.
Bulan Rejab adalah bulan ketujuh daripada bulan-bulan dalam hitungan tahun qamariah. Rejab bererti kebesaran dan dinamakan Rejab kerana bulan ini sangat dimuliakan pada zaman Jahiliah.  Rejab juga telah mencatatkan sejarah yang penting di dalamnya bagi kehidupan umat Islam kerana bulan ini mengandungi peristiwa Isra’ dan Mikraj Junjungan Nabi Besar kita Muhammad S.A.W yang mana ianya merupakan satu peristiwa yang kita telah maklum keagungannya
Sedar atau tidak, hari ini kita telah sampai pada 5 Rejab. Begitu cepat masa berlalu. Kawan-kawan dah manfaatkan bulan Rejab ini??? Kalau belum marilah kita sama-sama gunakan waktu di bulan rejab ini dengan sebaiknya.
Terdapat sabda Nabi Muhammad S.A.W:
“Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab, nescaya Allah muliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari kiamat.”
Islam itu agama yang syumul dan mudah. Bila kita buat satu kebaikan. Allah akan balas lebih pada setiap satu kebaikan itu. Maka bertaqwalah kepada Allah. Laksanakan segala suruhanNYA dan tinggalkanlah laranganNYA supaya kita benar-benar tergolong di kalangan hamba yang benar-benar beriman. Maka, beribadatlah sebanyak mungkin pada bulan Rejab ini kerana pada bulan ini Allah S.W.T banyak memberikan pahala kepada mereka yang mengerjakan ibadat di dalamnya.Amalan-amalan yang digalakkan ke atas orang-orang Islam untuk mengerjakannya pada bulan Rejab ini ialah
MEMBACA SALAWAT KEPADA RASULULLAH S.A.W
Umat Islam memang digalakkan untuk membanyakkan membaca salawat pada bila-bila masa terutama pada ketika pahalanya dilipat gandakan di dalamnya seperti pada bulan Rejab kerana membaca salawat sangat besar pahalanya.
            Sabda Rasulullah S.A.W:
“Barangsiapa yang membaca salawat untuk Ku satu kali, Allah bersalawat kepadanya sepuluh kali, dan barangsiapa bersalawat sepuluh kali kepada ku, Allah akan bersalawat kepadanya sebanyak seratus kali.  Dan barang siapa yang bersalawat kepada Ku seratus kali, maka Allah menulis di antara kedua-dua matanya kebebasan dari nifak dan kebebasan dari neraka.  Pada hari kiamat orang itu akan ditempatkan bersama orang-orang yang mati syahid.” [Riwayat At-Tabrani]

BERTAUBAT
Kita digalakkan untuk memperbanyakkan bertaubat pada bulan Rejab kerana bulan ini adalah bulan pengampunan dan Allah S.W.T membukakan pintu rahmat seluas-luasnya bagi mengampunkan dosa-dosa hamba-hambanya yang bertaubat. Setiap permohonan kita kepada Allah S.W.T pasti akan mendapat balasan jua dan jika kita mempraktikkannya insya-Allah pasti kita akan memperolehi kejayaan dan kebahagian di dunia dan di akhirat.
 Firman Allah S.W.T:
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan bertaubat nasuha mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.” [Surah At-Tahrim ayat 8]
BERPUASA
Kita Umat Islam digalakkan untuk banyak berpuasa  pada bulan Rejab.
Sabda Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Al-Baihaqi:
 “Sesungguhnya didalam syurga itu terdapat sebuah sungai yang disebutkan sungai Rejab, airnya lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu, barangsiapa yang berpuasa satu hari pada bulan Rejab, Allah akan memberinya minum dari sungai itu”.
 BERDOA
Apabila berada di bulan Rejab, kita berharap agar sampai pula pada bulan Syaaban dan bulan Ramadhan.  Bulan Ramadhan adalah bulan yang dinanti-nanti oleh setiap orang Islam yang sentiasa merindui besarnya pahala pada bulan tersebut.
Rasulullah S.A.W apabila masuk ke bulan Rejab baginda berdoa dengan doa berikut:
“Ya Allah! Berkatilah kami pada bulan Rejab dan bulan Syaaban serta sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan.”

 BERSEDEKAH DAN MELAKUKAN AMALAN JARIAH
Ini juga adalah amalan yang mulia dibulan Rejab ini. Jika kita tidak mampu untuk melaksanakan ibadah yang lain lakukanlah amalan yang mandatangkan pahala seperti ini.Beramallah mengikut kemampuan masing-masing, jika tidak dapat melaksanakannya kesemuanya,laksanakanlah sebahagiannya dan janganlah ditinggalkan semuanya.
Akhir kata tiada yang lebih penting dalam melaksanakan ibadah Allah itu melainkan kita melakukannya dengan hati yang tulus ikhlas dan setiap amalan itu hanya Allah yang layak membalasnya kerana dia lebih mengetahui setiap perbuatan hamba NYA samada yang tersembunyi ataupun tidak.
SELAMAT BERAMAL DAN SALAM REJAB UNTUK SEMUA UMAT ISLAM(~_~)

No comments: