CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Thursday 28 March 2013

PILIHAN RAYA KAMPUS DI JORDAN (PRK)

RABU 27/3/13

PRK dijalankan seperti biasa. Suasana mengundi pada hari ini, kelihatan berjalan dengan baik. Semua pelajar Arab sibuk mengundi pelajar pilihan masing-masing. Ketika aku ingin masuk ke bangunan Syariah, aku ternampak juga, ada group pelajar yang memakai reben bewarna hijau di tangan mereka, barangkali itu sebagai simbolik untuk menyokong pelajar yang mereka ingin pilih. 

Sampai sahaja di kelas, kami menanti Doktor (Pensyarah) seperti biasa. Selalunya, Doktor yang mengajar kami pada pagi ini jarang sekali lewat. Kami terus menanti, dan masa terus berlalu. Jam menunjukkan sudah 15 minit berlalu, dan kebanyakan pelajar Arab sudah lama berlalu meninggalkan kelas. Mungkin, mereka sibuk dengan PRK tersebut jadi kami tetap menunggu dengan penuh sabar. Bila 30 minit telah berlalu, kami pun mula beransur keluar dari kelas tersebut, dan sebelum berlalu pulang, kami dimaklumkan hari ini kebanyakan kelas batal dan doktor yang kami tunggu tadi rupa-rupanya sibuk dengan PRK tersebut.

Jadi, pada hari ini, dapatlah kami pulang lebih awal dari kebiasaan. :)

KHAMIS 28/3/13

Agak lewat sedikit kami sampai ke kelas hari ni. Lebih kurang jam 8.10 kami tiba di kelas. Tapi kelas pada hari ini nampak janggal sedikit, mungkin disebabkan ramai pelajar yang tidak hadir terutamanya di kalangan pelajar Arab. Aku terfikir, mungkin salah satu faktornya adalah berpunca dari pilihan raya semalam.

Doktor tetap mengajar seperti biasa hari tu, seawal jam 8.45 kelasku bersurai. Kelas aku yang kedua pula untuk hari ini ialah pada pukul 12 tengahari nanti. Masa free yang ada selalunya aku akan ke library dan sewaktu aku duduk di library, aku terdengar laungan 'We are Tofileh' diulang beberapa kali.

Lantas, aku terus menjenguk di jendela maktabah (perpustakaan) yang berada di tingkat paling atas. Kelihatan mereka menyanyi dan menari-nari di tepi kolam Jamiah dengan rancaknya. Rupanya, apa yang aku dengari dari perbualan sahabatku, pilihanraya kali ini kebanyakannya dimenangi oleh Keluarga Tofileh dan Karaki. Baru aku tahu, beginilah hangatnya suasana mereka meraikan kemenangan itu. Aku meneruskan kerjaku tanpa mempedulikan keadaan di luar.


~Suasana mereka meraikan kemenangan. Kelihatan beberapa pelajar berenang di kolam tersebut.~

Selepas itu, pada jam 10 pula, kami telah merancang pergi ke Syimali (belakang jamiah) untuk membeli sedikit barang keperluan. Bila aku dan sahabatku kembali ke Jamiah, kami telah diberi tahu bahawa sesiapa yang kelas bersama dengan Doktor Faris, kelas semuanya dibatalkan memandangkan Doktor tidak sihat.

Kebetulan aku dan sahabatku punya dua kelas bersama beliau, jadi untuk hari itu kami dapatlah pulang awal seperti semalam. Tapi malangnya, saat kami ingin keluar, kami melihat pelajar Arab sudah mula bergaduh. Padahal awal pagi tadi baru aku melihat mereka bersuka-ria di tepi kolam, tiba-tiba sekarang mereka sudah mula bergaduh besar-besaran. Kelihatan batu mula berterbangan di udara. Ada juga pelajar yang memegang kayu di tangan berlari-lari menuju ke tempat punca segala pergaduhan.



~Mereka sudah mula bergaduh~


Ketika kelihatan beberapa kumpulan sibuk membaling batu, kami pelajar Asia dan beberapa pelajar perempuan Arab hanya memerhatikan dari jauh, kerana tempat mereka bergaduh itu tidaklah berapa jauh dari bangunan kami. Tapi, lama kelamaan pergaduhan itu mula meleret hingga ke tempat kuliah kami. Semua pelajar yang berada di luar kawasan di arahkan masuk oleh Guard di situ. Pintu mula dikunci. 

Aku dan sahabat-sahabatku terus menyambung memerhatikan pergaduhan mereka melalui tingkap. Aku lihat ada beberapa orang Arab yang sudah berdarah di kepala. Mungkin batu yang dibaling terkena pada kepalanya. Lagak peristiwa hari itu seperti aku sedang berada di Palestin. Mana tidaknya, batu melayang di udara, kedengaran suara riuh-rendah di luar, masing-masing yang terlibat kebanyakannya menutup muka mereka dengan baju yang dipakai. 

 Keadaan masih tidak reda di luar. Kami yang berada di dalam bangunan Kuliah Syariah hanya mampu menanti. Tiba-tiba Pengawal yang menjaga sekitar bangunan tersebut mula mengarahkan kami beredar dari bangunan secepat yang mungkin dan menyuruh kami melalui laluan Janubi. Aku bersyukur kerana dapat pulang dengan selamat bersama sahabat-sahabatku. Alhamdullilah semua pelajar Malaysia pulang ke rumah masing-masing dalam keadaan yang baik.


~ PENGALAMAN HIDUP DI PERANTAUAN PERLU DI MANFAAATKAN SUPAYA APA YANG BAIK KITA MANFAATKAN, DAN APA YANG BURUK KITA JADIKAN PENGAJARAN YANG MUNGKIN BERGUNA PADA MASA KINI ATAU MASA AKAN DATANG~


Sumber gambar : Pelajar -pelajar Malaysia Universiti Mu'tah Jordan.




No comments: