~ Dialah sahabatku ~ |
Bila kita kehilangan seseorang yang sangat kita kenali,pasti
kita akan sedih akan pemergian dia kan??? Itulah yang aku alami sekarang ini
apabila seorang sahabatku yang aku kenal semenjak di bangku sekolah menengah dulu telah menghembuskan
nafas terakhirnya pada 11 September 2012.
Kira-kira jam 2 pagi waktu Jordan, sedang mata ingin lena
disebabkan rasa mengantuk yang tidak dapat ku tahan. Tiba-tiba, aku terdengar
telefon sahabatku Najwa berdering menandakan ada panggilan masuk sedangkan
waktu itu aku sudah melelapkan mata. Baru ingin lena dibuai mimpi, aku terkejut
apabila terdengar suara sahabatku tiba-tiba menyebut nama seorang insan yang
sangat ku kenali telah meninggal dunia.
Allah,saat itu aku terus bangun melihat Najwa dengan wajah
yang penuh kecemasan. Aku masih tidak percaya. Aku inginkan kepastian. Selesai
Najwa menjawab panggilan yang diterima tadi, dia berkata kepadaku dengan nada
sedih yang tidak dapat dibendung “ Ain, "Oyak" dah tak ada. Dia dah meninggal
disebabkan accident.” Aku masih tidak percaya,dan aku anggap itu mungkin salah
faham. Kemungkinan orang lain yang ditimpa kemalangan, sedangkan hatiku sudah
tidak tenteram untuk terima kenyataan itu.
Lantas ku capai laptop untuk membuka laman facebook ku untuk
kepastian. Aku perhati status rakan-rakan Mu’tah yang lain dengan harapan
berita yang aku dengari tadi adalah tidak benar. Tiba-tiba aku tersentak dengan
status salah seorang sahabat “Oyak” iaitu “ Arwah seorang yang baik”. Aku lihat waktu yang dipost itu baru berapa
jam lepas.
Hatiku berdebar. Sangat berdebar. Tiba-tiba Ayu iaitu rakan
sekelasku sewaktu di Unisza dulu dan juga rakan sekelas dengan “Oyak” muncul di
ruangan chat di Facebook. Ayu menyatakan sesuatu. Rupa-rupanya berita tentang
kematian “Oyak” benar-benar berlaku. Lantas air mataku mengalir laju. Tatkala
itu semua memori yang pernah wujud antara aku dan sahabatku “Oyak” mula bermain
di benakku.
Sungguh aku tidak menyangka yang dia telah pergi dulu.
Sempat aku melihat ketenangan wajahnya sebelum dia dihantar pulang ke Malaysia.
Alhamdullilah, segala urusannya ketika dihantar pulang dipermudahkan. Malah ramai
yang telah hadir ke upacara pengebumian “Oyak” di Malaysia.
Walaupun sudah dua bulan berlalu,tetapi nama arwah masih
disebut-sebut hingga kini kerana kebaikannya. Memang arwah adalah seorang yang
sangat baik pada teman-temannya, arwah juga seorang peramah dan sentiasa
tersenyum. Bila seseorang itu dalam kesusahan arwah akan sentiasa ada
menghulurkan bantuan. Itulah arwah yang aku kenali. Tidak pernah lokek untuk
membantu orang yang rapat disekelilingnya.Moga dia ditempatkan dikalangan
orang-orang yang soleh dan beriman. Amin.
~ Post di wall arwah yang sangat memberi kesan padaku dan sahabatku yang lain~ |
~OYAK KAYO DALAM KENANGAN~
( AL-FATIHAH BUAT SAHABATKU ALLAHYARHAM SAIFUL ASYRAF B. SAIFUDDIN)